Mengenai Kami

Terkini

Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) sebagai pemegang saham 100% 1MDB telah bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya cadangan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (“PAC”). Ini termasuk Pemindahan hak milik Bandar Malaysia Sdn. Bhd., TRX City Sdn. Bhd., dan tanah di Air Itam dan Pulau Indah kepada MoF Inc. Dibawah adalah siaran media oleh Kementerian Kewangan bertarikh 31 Mei 2016. 

Siaran Media

Kementerian Kewangan Malaysia
 

Tadbir Urus 1MDB

Perbadanan Menteri Kewangan (MOF Inc.) dengan sukacitanya mengumumkan perlantikan baru bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagi menggantikan lembaga pengarah terdahulu, yang mana perletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Tiga ahli lembaga pengarah yang baru diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan. Ahli lembaga yang lain adalah seperti:

i. YBhg. Dato' Norazman Ayob, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara; dan
ii. YBhg. Dato' Kamal Mohd Ali, Ketua Pegawai Operasi Prokhas Sdn Bhd.

Walaubagaimanapun, En. Arul Kanda akan terus memegang jawatan Presiden 1MDB.

Penukaran lembaga pengarah mencerminkan hala tuju baharu 1MDB sebagai syarikat tidak beroperasi, yang memfokuskan untuk meneruskan kejayaan pelan rasionalisasi dan perkhidmatannya bagi pembayaran balik hutangnya pada masa hadapan. MoF Inc. menyatakan penghargaananya kepada ahli lembaga pengarah yang terdahulu, yang menunjukkan sikap komited dan bersama-sama syarikat ketika mengharungi masa yang getir, menghasilkan kejayaan kepada pelan rasionalisasi.

MoF Inc sebagai pemegang 100% saham 1MDB, dengan sukacitanya mengesahkan pihaknya telah melaksanakan cadangan yang telah diusulkan oleh PAC bagi meminda Artikel Persatuan 1MDB yang berkuatkuasa 31 Mei 2016.

Ini termasuk, antara lain, pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB, pemansuhan Artikel 117 dan menukar segala rujukan daripada "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan".

Kemajuan juga ditunjukan dalam penukaran hak milik Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, hartanah Air Itam dan hartanah Pulau Indah kepada Mof Inc., dan pengumuman lanjut berkenaan hal ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
31 Mei 2016